Sekilas Sejarah
Perjuangan Rakyat Sarawak Menentang Penjajahan
N
|
egeri Sarawak seperti negeri-negeri lain di Malaysia, mempunyai
sejarah penjajahan yang tersendiri. Negeri Sarawak sebelum dijajah oleh kuasa
barat, ia berada di bawah kekuasaan kerajaan Brunei . Kemudian bermulanya era
dijajah oleh barat apabila berada di bawah kekuasaan keluarga Brooke sejak
tahun 1841. Pada tahun 1941-45 berada pula di bawah pendudukan Jepun,
seterusnya kuasa penjajahan berpindah tangan dan berada di bawah kerajaan
British “Crown Colony” pada tahun 1946. Kekuasaan British berterusan
sehinggalah Sarawak mencapai kemerdekaan pada 16 September 1963, setelah
bersama-sama Tanah Melayu, Singapura dan Sabah dalam pembentukan Malaysia .
Semasa pemerintahan Sarawak berada di bawah Gabenor Pengiran Mahkota Muhamad
Salleh sekitar kurun ke-18, keadaannya berada dalam kucar kacir setelah
berlakunya beberapa kejadian pemberontakan. Bagi mengatasi masalah tersebut,
Sultan Brunei
bertindak melantik Pengiran Muda Hashim untuk menghapuskan pemberontakan
tersebut. Bagi mencapai tujuannya, Pengiran Muda Hashim meminta bantuan James
Brooke. Akhirnya pemberontakan tersebut berjaya dihapuskan. Sebagai penghargaan
kepada James Brooke , Sarawak diserahkan kepadanya dan bermulalah era
pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak dengan
Raja James Brooke sebagai raja pertama (1841-1868), dan pentadbiran
Brooke mula bertapak dengan kuat di Sarawak .
Seterusnya pengganti James Brooke ialah anak saudara James Brooke iaitu Raja
Charles Brooke sebagai raja kedua (1868-1917). Pentadbirannya menjadi lebih
kukuh dan cekap. Malahan banyak wilayah telah diambil alih dari Brunei
sama ada secara perundingan mahupun secara paksa.
Pemerintah keluarga Brooke yang
ketiga ialah Raja Charles Vyner Brooke (1917-1941). Semasa pemerintahannya
Perlembagaan Sarawak diiystiharkan pada 24 September 1941, seterusnya pembentukan
“Supreme Council” dan Persidangan Konsul Negeri sebagai dasar yang akan
menjanjikan kerajaan sendiri kepada Sarawak .
Selain itu, beliau juga berusaha mendamaikan pergaduhan yang berlaku antara
puak-puak kaum Dayak.
Selepas Perang Dunia Kedua, di atas
beberapa sebab tertentu, Sarawak diserahkan
secara sah kepada pemerintahan British oleh keluarga Brooke pada 1 Julai 1946.
Pemerintahan kerajaan British di Sarawak diketuai oleh Gabenor British.
Antaranya Sir Charles Arden Clarke (1946-49), Mr Duncan Stewart (1949), Sir
Anthony Abell (1949-59) dan Sir AlexanderWadell (1959-63). Namun begitu
pembentukan “Crown Colony” ini
mendapat pelbagai
tentangan hebat dari penduduk setempat, terutamanya di kalangan orang melayu.
Penentangan itu dikenali dalam sejarah Sarawak
sebagai Gerakan Anti Penyerahan atau “Anti-Cession Movement”. Penentangan
dilakukan kerana penduduk menyedari tindakan menyerahkan Sarawak
kepada “Crown Colony” adalah bertentangan dengan dasar Perlembagaan Sarawak
tahun 1941. Pergerakan ini menentang keras pembentukan “Crown Colony” kerana
menjadikan Sarawak terus dijajah dan harapan untuk melihat Sarawak
bebas merdeka semakin pudar, sukar dan memakan masa.
Di samping itu, mereka juga berusaha
dengan menghantar surat ,
telegram, dan memorandum kepada kerajaan British di London dan wakilnya di
Kuching, namun rayuan dan tentangan serta segala tuntutan mereka tidak mendapat
layanan yang sewajarnya. Justeru itu timbul kekecewaan di kalangan mereka,
apalagi apabila Anthony Brooke sebagai orang yang mereka letakkan harapan untuk
mengembalikan Sarawak ke status asal telah dihalang memasuki Sarawak .
Gerakan ini melibatkan pelbagai persatuan, pertubuhan, golongan dan kaum di Sarawak . Antaranya Persatuan Melayu Sarawak
(PMS), Pergerakan Pemuday Melayu (PPM). Barisan Pemuda Sarawak (BPS), Persatuan
Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) dan juga Persatuan Dayak Sarawak (PDS).
Pada tahun 1948, Pergerakan Pemuda
Melayu (PPM) yang berpusat di Sibu menubuhkan Pakatan Rukun 13 yang diketuai
oleh Awang Rambli bin Deli dalam usaha penentangan mereka. Peristiwa hitam atau
kemuncak kepada gerakan anti-penyerahan ialah Peristiwa Pembunuhan Gabenor
Duncan Stewart pada 3 Disember 1949 di Sibu oleh
Rosly Dhobie (Dhoby)
dengan dibantu oleh Morshidi Sidek. Tindakan ini dilakukan hasil dari mesyuarat
dan keputusan radikal Pakatan Rukun 13 untuk membunuh gabenor semasa lawatan
beliau ke Sibu pada 3 Disember 1949. Semasa beliau mengadakan pemeriksaan
barisan kehormat, Rosly Dhoby bertindak menikamnya, beliau meninggal dunia di
Singapura beberapa hari selepas itu. Ekoran dari itu Rosly Dhoby dan Morshidi
Sidek serta rakan-rakannya dalam Rukun 13 telah ditangkap dan kemudiannya
dibicarakan serta dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Penjajahan British di Sarawak
berlangsung sehingga kepada Penubuhan Malaysia
pada tahun 1963, yang merupakan era baru bagi Sarawak
terus berkembang maju serta rakyatnya hidup aman damai. Secara amnya, kekuasaan
dan penjajahan yang bersilih ganti itu meninggalkan banyak kesan terhadap
perkembangan politik, ekonomi mahu pun social masyarakat Sarawak .
No comments:
Post a Comment